Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis Kata Selamat Datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Sehati Sejiwa.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke
hadrat Allah SWT, lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya,
kita warga SKKS dapat berjumpa di ruangan ini sebagai media perhubungan
dalam talian yang merupakan sumber rujukan maklumat terkini. Selawat
dan salam jua ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat
serta para tabiin.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama
pendidikan negara iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dan
harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal berasaskan pegangan
teguh dan kepercayaan kepada Tuhan. Sehubungan itu, Sekolah Kebangsaan
Kebun Sireh sentiasa berusaha dalam melahirkan para pelajar yang
holistik dan seimbang dari segi rohani dan jasmani, sejajar dengan
hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju
menjelang tahun 2020.
Bagi merealisasikan hasrat murni ini, transformasi pedagogi dan minda
sedia ada perlu dilakukan. Penyediaan maklumat dan informasi yang tepat
mengenai sistem pendidikan kini perlu disediakan. Menyedari hakikat
ini, saya amat berharap warga SKKS akan dapat memperoleh maklumat
terkini mengenai pendidikan melalui laman web yang dibangunkan ini.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah sebuah perjalanan
13 tahun dari tahun 2013 hinggalah tahun 2025 dalam usaha untuk
membangunkan sistem yang memberi akses
universal kepada
pendidikan yang berkualiti. Gagasan 13 tahun ini memerlukan momentum
yang besar dan kita di jabatan ini sentiasa berada di hadapan bagi
mencapai hasrat itu. Sesuai dengan slogan JPNPP
“Pendidikan Pulau Pinang Di Persada Antarabangsa”.
Adalah menjadi harapan saya agar laman ini menjadi salah satu sumber
rujukan dan wadah utama dalam penyebaran maklumat serta informasi
pendidikan kepada semua warga SKKS. Kepesatan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) membolehkan laman ini menyalurkan maklumat dengan
pantas untuk pengetahuan semua pihak.
Akhir kata, semoga laman ini dapat memberi manfaat kepada kita
bersama, terutama dalam mengangkat martabat pendidikan dalam membina
modal insan yang seimbang kearah pembangunan Malaysia maju 2020.